bersihkan kekotoran negara...  

Tuesday, May 1, 2012

Sudah 3 kali Bersih dianjurkan. Sentimen dan mood rakyat juga sudah acapkali pasang dan surut. Cuma satu sahaja yang saya tidak berkenan dengan kenyataan Najib untuk Bersih terbaru ini bahawa beliau meminta bukti kepada pengajur pilihanraya kotor selama ini. Saya ketawa. Hati terasa digeletek.

Baru-baru ini Tun Mahathir mengulas isu Bersih, katanya himpunan ini satu usaha menjatuhkan kerajaan melalui campur tangan asing. Tun Mahathir selama hari ini memang sering mengeluarkan kenyataan bombastik dan sarkastik waima penulisan beliau sungguh bernilai agung. Jadi tidak hairanlah saya apa-apa jua kenyataan beliau selama ini terutama sekali sehinga memaksa Tun Abdullah meletak jawatan.

Saya dari dulu lagi tidak suka dengan Hishamuddin. Ikhlas. Walaupun lidah beliau begitu petah menjawab soalan wartawan antarabangsa, dengan susuk tubuh dan berkaca mata sering mengeluarkan arahan kepada pihak polis, beliau sering bertopengkan kuasa. bertindak zalim dalam diam. Contoh paling mudah untuk beliau dan polis adalah "Lembu punya susu, Sapi dapat nama!".

Media arus perdana sangat bersifat supersonik. Bayangkan dengan hanya tragedi tentera semut, media menyalurkan berita tentang tentera US. Namun bukan itu yang saya mahu kupas. Tetapi perangkap minda dan terlalu pincang mengulas fakta membuatkan saya begitu jelek dengan media negara.


Mengapa BERSIH relevan?

Inilah satu-satunya medium yang berkesan untuk menghentak dan hentam pemerintah gila kuasa. Bukan sahaja relevan untuk UMNo dan BN malah sesuai juga Bersih dianjur UMNO pada pilihanraya ke 14 nanti. Ataupun UMNO boleh anjur nama perhimpunan yang lebih sedap. Jadi mereka tak perlu takut pada Bersih kerana mereka suatu hari nanti juga akan anjur demonstrasi.

Pada masa kini, satu cerminan jelas bagaimana pemerintah sekarang begitu bersenang-lenang menghabiskan duit dan aset negara melalui cara urus tadbir dan berbelanja. Begitu pantang saya mendengar apabila isteri menteri berbelanja berjuta-juta malah siapa tahu sudah penuh poket dalam akaun bank luar negara.

Berpuluh-puluh malah beribu-ribu kontrak dan projek, politik wang, kadar pengangguran dan kos sara hidup rakyat dalam negara begitu terbeban dengan pemerintahan selama ini. Bukti menunjukkan pemerintah tak tahu mentadbir dan bodoh membuat keputusan.

Lihatlah tanah yang terlepas, wilayah negara yang terjual dan penafian hak oleh pemerintah terhadap rakyat. Apalah sangat dengan BR1M dan duit poket Rm100 yang diberi berbanding berbilion malah trilion harta negara yang masuk ke kantung menteri.


Jadi lihatlah bagaimana mereka sudah lama berkuasa setiap kali pilihanraya kerana pilihanraya sentiasa ditipu dengan berbagai cara. Jadi kalau bukan kerana BERSIH apa lagi cara untuk melihat anak cucu terus nikmat hidup tanpa penganiayaan dan pembohongan pemerintah. Saya tidak mahu diperbodohkan!

Apa kita perlu buat sekarang?!

Sekarang kita kena bersatu hati. menjelang pilihanraya nanti jangan lagi pilih pemerintah yang sudah tua ini. Mereka tidak pandai memerintah. Kita pilih pemimpin yang pandai dan ada karisma sahaja. Wajah pemimpin yang bodoh senang untuk dikenal. Lihat sahaja pipinya, jika lebar dan menggelebeh ke bawah, itu tanda pemimpin penipu barangkali. Ayuh memilih pemimpin bertauladan. Hasut sebanyak mungkin kawan-kawan dan golongan veteran yang kekampungan itu. Bersihkan kekotoran negara!


AddThis Social Bookmark Button

Pautan pada catatan ini Email this post


Malas Membaca..  

Saturday, March 31, 2012

Seseorang yang cetek pengetahuan mampu dilihat melalui percakapannya dan perbuatannya. Andainya seseorang punya harga diri dan menyedari kepentingan ilmu pengetahuan, bisa saja mereka malu untuk berbual dan beramah mesra bersama ilmuwan.

Bagaimana ingin keluar dari kepompong penilaian seperti ini adalah dengan rajin membaca buku dan bahan-bahan ilmu selain melakukan pengkajian dan perbandingan. Yang menjadi masalah adalah sikap malas dan diri sendiri sahaja.

Cara pemikiran seseorang akan diterjemah melalui gaya hidup. Mengapa? Ahli Psikologi banyak yang merungkai keadaan ini. Bagaimana seseorang yang rajin membaca sedikit bersepah biliknya. Agak kurang masa makannya serta kurang pergaulannya kerana asyik membaca. Namun ini tetap dikira sihat juga jika mahu dibandingkan dengan seseorang yang kurang berkomunikasi kerana asyik tidur dibuai mimpi.

Jika kita tidak mahu disalah tanggap dan tidak mahu digelar bodoh dan tidak tahu apa, rajin-rajinlah membaca. Dan jika kita tidak mahu digelar tak ketahuan, jadilah seorang yang pendiam andainya malas membaca. Kerana jika diajak berbual, maka terbocorlah rahsia dan personaliti. Dan tanggunglah akibat gelaran sombong kerana kepingin menjadi pendiam.

Manusia itu semakin banyak berkata-kata semakin terserlahlah kebodohan dan aibnya. Oleh itu, selindungkan ia dengan ilmu pengetahuan berbekalkan dari pembacaan. Agar percakapan sentiasa bertauladan dan tidak hanya berbuih di mulut. Wujudkanlah budaya membaca.

AddThis Social Bookmark Button

Pautan pada catatan ini Email this post


Ubah Politik Malaysia...  

Wednesday, February 29, 2012

Senario politik Malaysia sekarang mesti diubah secepat mungkin. Itu kesimpulan tuntas dan segera yang dilihat menerusi kaca mata saya menerusi cerminan landskap politik dan sosio budaya masyarakat dan pemikiran rakyat.

Minda Melayu yang lazimnya tepu dan asyik menerima maklumat bertaraf zhon secara terus mesti diubah secepat mungkin.

Persaingan politik di Malaysia hari ini sangat teruk. Realitinya yang paling senang adalah menerusi kebebasan media dan suara. Tidak cukup hanya bersuara di jalan raya dengan bunyi hon yang bising. TV, surat khabar dan dewan awam tidak wajar diminta permit dari polis. Semua saluran itu hak mutlak awam dan bukan hak persendirian mahupun mana-mana sekalipun kerajaan memerintah.

Dengan hanya monopoli media, segala dakwaan dan tuduhan tidak boleh dibalas jawab dua hala. Keadaan ini akan menyebabkan orang Melayu terutamanya akan makin tepu dan tumpul mindanya kerana terus percaya cerita karut dan dongeng.

KENAPA PERLU UBAH?

Lihat politik Eropah, apabila kerajaan tidak dimonopoli, harta negara,kebajikan rakyat akan terjaga dengan jamin. Manifesto parti politik akan meletup tak mengira bila. Tidak perlu ada pertimbangan dan proses yang lama untuk dilaksana.

Kesannya, daya intelek rakyat akan menjadi pintar. Pemikiran mereka tidak kolot dan sentiasa rasional. Martabat bangsa akan terangkat dan disanjung setingginya. Hak dan keistimewaan rakyat sentiasa dilayan seperti raja. Bukannya menjadikan golongan kerabat saja yang menjadi raja.

KESIMPULAN

Senario politik Malaysia sudah sampai masa perlu ditukar. Yang dungu perlu naik taraf minda. Ketepikan duli ketuanan dan hak istimewa bangsa. Yang penting kebajikan rakyat akan menjadi kaya!

AddThis Social Bookmark Button

Pautan pada catatan ini Email this post


Tajdid Antara Dunia Islam dan Eropah : Keraguan Sebagai Jalan Islah?  

Friday, January 27, 2012

2967.JPG

Islam serba sedikitnya sudah saya pelajari dengan penilaian pada menghasilkan sekeping ijazah.

Dunia Arab menjadi gelanggang mastautin pada mengenali serendah-rendah perbuatan kencing berdiri di tepi jalan, hinggalah pada semulia-mulia manusia pada alim Ulama’ dan tradisi ilmu serta perjuangannya.

Mastautin di Eropah itu perlu.

Perlu buat diri saya yang hilang separuh keyakinan untuk mendepani masyarakat, tatkala saya sedar bahawa idea yang mendominasi kehidupan hari ini adalah idea Eropah. Hatta kampung halaman saya itu pun dipetakan di Asia Tenggara. Tenggara Eropah!

Lama merenung dan berfikir tentang Eropah, Barat, tamadun, Islam, Kristian, Rasional, Sains… akhir saya jatuh kasihan kepada Eropah. Kasihan melihat suatu kumpulan manusia yang hakikatnya mencari jalan untuk cuba bertuhan dengan betul, tetapi asyik mengulangi pusingan kesilapan yang sama.

Saya tidak lagi boleh bersetuju jika ada yang menegaskan kepada saya bahawa Eropah itu membuang tuhan, seperti yang saya percaya selama ini. Di sepanjang zaman Eropah yang dapat dikesan dari sejarah bertulis, hanya dua kurun terakhir ini sahaja yang menyaksikan penguasaan trend membuang Tuhan dari kehidupan. Dan semenjak itulah, penyakit Eropah semakin tenat dan hilang kekuatan.

Ajaran Kristian yang diwarisi secara tradisi telah membentangkan syariat yang caca merba. Sikap gereja yang sombong, enggan menerima pendapat orang lain, dan mengambil langkah mudah dengan menghukum sesiapa sahaja yang bertentang pendapat, telah memakan diri mereka sendiri. Sekurun demi sekurun, gereja dan sesiapa sahaja yang bergantung pengaruh dengannya, termasuk golongan istana dan bangsawan, hilang kewibawaan, dominasi dan seterusnya renyuk dipijak kemarahan rakyat.

ZAMAN EROPAH JUMUD

Sesungguhnya agama yang diselubungi ketaksuban telah membunuh watak manusia yang berfikir. Mereka bertaqlid sama ada kerana kemalasan berfikir, atau bimbangkan tindakan pemuka agama yang berkuasa. Inilah kecelaan Kristian yang mengheret dunia Eropah ke zaman Gelap, kurun demi kurun.

Mendung itu akhirnya disapu pergi oleh kebangkitan golongan pembaharuan. Mereka mempersoalkan benda yang tidak pernah dipersoalkan, mereka menyemai benih keraguan di kalangan masyarakat agar kepercayaan masyarakat kepada kebodohan agama di Eropah itu tercabar dan terbongkar. Di atas keraguan itulah, akhirnya masyarakat Eropah berjaya memanfaatkan otak mereka untuk kembali menjadi manusia pemikir, dan berpemikiran sebagai jati diri.

Gelap pergi, era Pencerahan menyinar lagi.

MERANGKAK MENCARI CAHAYA

Eropah cuba bangun kepada Pencerahan (Enlightenment) dan mereka bangun dengan pelbagai cara. Saya tertarik dengan jalan yang dipilih oleh seorang ahli falsafah Perancis iaitu Rene Descartes (31 Mac, 1596 – 11 Februari, 1650), atau juga dikenali sebagai Cartesius. Antara kata-kata Descartes yang masyhur sebagai asas era Pencerahan ialah:

Cogito, ergo sum
I think, therefore I am

Punca Descartes menimbulkan pencariannya itu adalah kerana beliau hidup di dalam dunia yang mengelirukan dan penuh keraguan. Agama yang mendominasi kehidupan masa itu, sungguh bertentangan dengan naluri kemanusiaan. Paderi yang manusia, boleh pula menjadi pegawai menghapus dosa manusia. Penjelasan mengenai Tuhan oleh gereja hanya mengundang kecelaruan pemikiran. Descartes ditimpa keraguan lantas akhirnya mengesyaki segala-galanya. Kerana itulah, kata-kata Descartes itu selengkapnya berbunyi:

I doubt, I think. I think, therefore I am

Apabila Descartes meragui semua benda termasuk hakikat dirinya, akhirnya beliau bertemu dengan ‘fikir’. Keupayaannya untuk berfikirlah yang menjadi satu-satunya ‘bekal yang ada yakin’ untuk beliau mencari kebenaran. Falsafah Descartes ini akhirnya menjadi pendorong besar kepada masyarakat Eropah untuk merangsang diri mereka agar mempersoalkan semua benda dan idea yang wujud selama ini, dan memikirkan persoalan itu dengan ‘sebab musabbab’ supaya akhirnya bertemu dengan apa yang diyakini sebagai kebenaran.

Tradisi berfikir itu telah menyebabkan gereja mudah kelihatan bodoh di hadapan masyarakat. Jangan bercakap jika tidak logik. Tidak mungkin logik jika tidak bersebab lagi berdalil. Di era inilah ilmu Sains Kemanusiaan berkembang. Kesahihan sesuatu mesti ditentukan dengan disiplin Sains. Kaedah empirical studies yang dipopularkan oleh tokoh seperti John Locke (29 Ogos 1632 - 28 Oktober 1704) menjadi teras penentuan di mana sesuatu fakta yang mahu diterima, hendaklah ditentukan menerusi eksperimen dan pemerhatian. Ada sandaran.

Sedikit demi sedikit, pemikiran saintifik menguasai masyarakat, menggantikan pemikiran agama yang dilihat sebagai dogmatik dan anti logik.

MENGAGUMI PENCERAHAN EROPAH

Sungguh hebat era Pencerahan di Eropah. Sesiapa sahaja yang berjiwa Islah dan Tajdid akan mengaguminya. Sesiapa sahaja yang sudah bosan dengan keangkuhan tradisionalisma akan mengambil inspirasi dari era Pencerahan Eropah. Bukan sahaja pengkaji barat, malah tokoh-tokoh Islam juga mendapat suntikan semangat untuk menjalankan perubahan di kalangan umat Islam sendiri hasil pembacaan dan kajian mereka terhadap era Pencerahan Eropah.

Di situlah munculnya nama-nama seperti Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha. Keinsafan yang terbit dari memahami era Pencerahan Eropah juga mengundang Muhammad Shakib Arslan untuk melontarkan idea pembaharuan yang segar.

Dari Dunia Arab, kesedaran itu berkembang ke seluruh dunia. Ia terus berlangsung hingga ke hari ini. Tidak menghairankan, khususnya golongan profesional yang berpendidikan Barat tetapi berjiwa Islam, menyeru masyarakat kita hari ini agar mencontohi era Pencerahan Eropah. Tulisan-tulisan dan siri ucapan dari Forum Muslim Profesional misalnya, berulang kali mengajak generasi pembaharuan hari ini agar mencontohi strategi Martin Luther (10 November 1483 – 18 February 1546) yang mencabar tradisionalisma Katholik hingga berjaya mencetuskan reformasi agama bergelar gerakan Protestant.

Berfikir tentang ‘Tajdid’ dalam kerangka Eropah, pada melihat watak dan tingkah manusia di sebalik peristiwa demi peristiwa menimbulkan menung yang panjang.

Apa yang menjadi persoalan saya ialah mengapakah tindak tanduk orang Eropah di era Pencerahan ini semacam banyak persamaan dengan kita umat Islam? Semacam ada banyak pengulangan. Walhal, Eropah mewarisi masalah dan mengusahakan penyelesaian, kedua-duanya di dalam kerangka agama Kristian. Bagaimana kita yang Islam dan Muslim ini boleh ditimpa atau mengalami pengalaman yang sama?

DUA PENYOKONG ALIRAN SALAFI

Hari ini saya melihat, perkembangan aliran Salafi yang berlangsung di dalam masyarakat telah menarik sokongan dua pihak.

Golongan pertama, adalah golongan yang cintakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka tidak sanggup melihat al-Quran dicemar oleh tafsiran-tafsiran yang menghilangkan keindahan dan ketulenan al-Quran. Kumpulan ini juga tidak sanggup melihat Muhammad s.a.w. dikhianati, apabila pelbagai hadith palsu disebar dan dinisbahkan kepada baginda. Menonton pendakwah popular bercakap songsang dan menisbahkan kesongsangan itu kepada Rasulullah s.a.w adalah seperti melihat kaum Quraish menyimbah perut unta ke tubuh baginda. Suatu penghinaan.

Golongan ini mendukung aliran Salafi kerana mahu memurnikan komitmen ummah kepada al-Quran dan al-Sunnah. Mereka sayangkan al-Quran dan al-Sunnah, dan mereka juga sayangkan Ummah. Al-Quran dan al-Sunnah hanya terzahir tinggi apabila dijunjung Ummah. Dan Ummah pula akan tinggi apabila menjunjung al-Quran dan al-Sunnah.

Manakala golongan kedua pula, adalah golongan ahli sains dan profesional. Mereka ini mudah untuk menerima seruan manhaj Salafi kerana ia bersesuaian dengan kerangka pemikiran saintifik. Mereka dididik dengan ilmu Sains, sama ada ilmu kejuruteraan, perubatan, sains politik, sejarah atau antropologi, di mana kesahihan sesuatu teori mestilah dengan justifikasi dalil dan sebab.

Tiada doktor yang bertaqlid dalam kedoktorannya kerana ia mengundang bencana. Tiada jurutera yang menerima teori kejuruteraan pensyarahnya semata-mata atas ketaksubannya terhadap pensyarah itu. Ia tidak mungkin berlaku kerana fakta perubatan yang ditaqlid dan teori kejuruteraan yang diterima atas ketaksuban, akan segera mempamerkan kesan negatifnya pada hasil kerja mereka di dunia, sebelum mati. Kaedah saintifik ini begitu meyakinkan. Menganalisa agama dengan pendekatan yang saintifik juga, menghasilkan keyakinan yang sama.

PEMIKIRAN SAINTIFIK DAN SALAFI

Orientasi begini bersesuaian dengan seruan Salafi. Tiada urusan agama yang wajar diwarisi tanpa kefahaman. Agama tidak ditanam melalui doktrinisasi atau penguatkuasaan. Ia perlu dibahas, ia perlu dimatangkan. Masing-masing mengemukakan hujah dan dalil. Hujah tersebut juga dianalisa dan perlu sahih. Hasilnya, kita memilih yang paling tepat.

Perbahasan ini, bagi dunia sains kemanusiaan, adalah lanjutan latihan Dialektik oleh Socrates.

Mungkin inilah punca, mengapa keterbukaan untuk menerima manhaj Salafi ini lebih mudah berlaku di kalangan orang sains berbanding dengan orang agama.

Malah orang agama pula yang bertindak menjadi penghalang kepada gerakan pemurnian ini.

GOLONGAN AGAMA

Saya terdiam.

Tidakkah di era Pencerahan Eropah dahulu, golongan agama juga bertindak sama? Mereka menyindir golongan saintis yang menjadi pesaing. Malah di masa-masa yang golongan agama ini mempunyai kuasa pemerintah, mereka menghukum sahaja saintis yang menyeru ala Descartes itu.

“Raguilah segala tentang agamamu. Tanyakan semuanya semula. Jangan takut dengan keraguan itu kerana kita manusia yang ada upaya fikir. Fikir, mana-mana yang terbukti oleh logik fikir, ia benar. Mana-mana yang tahyul, doktrin buta dan misteri, tinggalkan sahaja”

Golongan agama tidak menyetujuinya. Ada saintis dihukum, golongan yang menuntut pembebasan dari kekeliruan agama ini dilabel sebagai anti keamanan dan pencetus kacau bilau. Istana segera mengguna kuasa. Pemerintah dan rakyat bertempur, golongan agama tersenyum di gereja.

PERBANDINGAN YANG PAHIT

“Prof., saya amat terganggu dengan hal ini. Tidakkah ini jawapannya kepada masalah umat Islam kebelakangan ini?” saya bertanya kepada Profesor Abdullah al-Ahsan.

Wacana bersama guru saya yang banyak membantu menyusun pandangan saya terhadap Eropah.

“Masalah yang mana?” Prof meminta kepastian dari saya.

“Masyarakat Malaysia semakin sinis kepada golongan agama. Kumpulan Islam Liberal lebih-lebih lagi. Mereka sedang memerhati golongan agama, seperti masyarakat Eropah melihat kerenah paderi-paderi mereka dahulu” saya meluahkan apa yang terpendam.

“Ia boleh jadi begitu, jika masyarakat Malaysia hari ini mendukung sistem nilai Eropah. Mereka menilai agama dan orang agama seperti Eropah menilainya” kata Prof kepada saya.

Patutlah terlalu sukar untuk menyuruh suara-suara liberal ini tunduk menghormati ulama dan mufti. Apatah lagi para ustaz. Mungkin di mata golongan ini (saya pun sukar hendak menamakan mereka), para ustaz ini adalah pencacai agama! Mereka menilai para ustaz seperti ‘ustaz Kristian’ di Eropah. Kaki makan duit, ajar agama yang memundurkan, dan terlebih penting, terlalu rendah pemikiran ustaz ini sehingga mustahil untuk mereka faham tentang ketinggian nilai Moden a.k.a. Eropah ini.

Menjadi satu kekuatan kepada golongan liberal ini, dengan ramainya golongan ustaz yang tidak faham tentang Eropah, tidak tahu nilai Eropah dan tidak sekufu untuk bertanding menentang puak liberal ini. Kecerdikan golongan ini, ialah pada kejahilan seterunya.

“Itulah tugas pelajar Sejarah. Sejarah bukan untuk dihafal nama dan tarikhnya. Sejarah adalah belajar tentang manusia. Jika psikologi menganalisa manusia secara individu, Sejarah pula menganalisa manusia secara kolektif, skala makro yang lebih besar” kata Prof.

Ya. Memang benar. Manusia tetap manusia. Tidak kira apa agamanya, penyakit-penyakit yang berpunca dari sikap, akan menimpa sesiapa sahaja. Manusialah yang menghidup serta mematikan watak dan idea Eropah. Manusia juga yang mendukung Islam. Walaupun menganut fakta yang berbeza, sikap mereka sama dan hasil sikap itu juga sama.

PENCERAHAN, POSITIF ATAU NEGATIF?

Habis, kesan era Pencerahan itu positif atau negatif?

Memang benar era Pencerahan itu telah menghasilkan pelbagai kesan yang positif. Paling dibanggakan oleh Eropah, adalah Revolusi Industri yang telah memberikan Eropah kewibawaan untuk memimpin dunia. Itu yang pernah Profesor Abdullah al-Ahsan nukilkan kepada saya.

Saya juga bersetuju dengan Prof. Era Pencerahan Eropah yang berasaskan kepada kekuatan idea dan pemikiran itu, memang banyak kesan positifnya. Tetapi selepas ratusan tahun kita berada di hadapan Revolusi Industri, kita sewajarnya sudah mampu menilai sejauh manakah kebaikan Revolusi Industri itu? Sejauh manakah kehidupan hakiki seorang insan menjadi lebih baik di era moden ini? Tuntutan komersil untuk menghasilkan apa yang menguntungkan manusia ramai, telah membinasakan alam ini dan semua terpaksa percaya bahawa kemusnahan alam dan keracunan persekitaran ini sebagai sesuatu yang terpaksa diadakan.

Demi kemodenan.

Itu sudah cukup menjelekkan.

Tetapi, ada satu petikan kata yang membingungkan saya. Petikan yang menyebabkan saya gementar dengan realiti hari ini.

REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION

Ini adalah kesimpulan Eropah terhadap kehancuran dan kebinasaan dunia selepas Perang Dunia Pertama.

Kesimpulan ini sudah pun disebut oleh Nietsche jauh lebih awal dari itu tetapi selepas Perang Dunia Pertama, kebijaksanaan Eropah rupa-rupanya berakhir dengan kehancuran.

Eropah sangkakan, dengan Reason dan Rationalism, mereka sudah cukup bertamadun. Tetapi kepandaian orang Eropah itu telah menjadi sebab mereka berlaga semasa mereka. Tidak pernah Eropah menyangka, bahawa bangsa mereka berupaya berkelakuan ganas dan kejam, menjelangnya Perang Dunia Pertama. Mereka sangat kecewa dengan diri sendiri dan akhirnya, mereka menyalahkan reasons, di samping punca-punca yang lain.

Eropah menyangkakan bahawa dengan tradisi Pencerahan yang berdalil itu, mereka sudah maju lagi bertamadun. Tetapi apabila tradisi Pencerahan itu disalahgunakan, ia telah mengundang bencana. Charles Darwin (1809 – 1882) telah mengimplimentasikan teori geologi datuknya kepada biologi kehaiwanan.

Tidak lama selepas itu, teori haiwan itu diaplikasikan pula oleh ahli kaji sosial kepada manusia. Jika spesis binatang bersaing untuk hidup, dan yang lemah akan pupus, maka ada pula manusia yang percaya bahawa spesis dan keturunannya lebih berhak untuk hidup berbanding dengan keturunan yang lain.

“Penjajahan adalah fenomena biologi yang semulajadi” kata mereka.

Akhirnya, golongan Social Darwinist telah menyuntik kesombongan ke dalam diri bangsa Eropah. Renung sahaja kata-kata Karl Pearson, seorang profesor matematik British,

“Sejarah hanya menunjukkan kepada saya satu jalan. Iaitu satu-satunya jalan yang telah membawa kepada bangunnya tamadun yang tinggi. Jalan itu adalah jalan persaingan bangsa dengan bangsa, dan berakhir dengan kemenangan bangsa yang lebih baik mengatasi yang bangsa yang rendah” (National Life from the Standpoint of Science ’1900)

Nilaikan pula kata-kata seorang senator Amerika Syarikat bernama Albert J. Beveridge:

“Kita mesti patuh terhadap ketentuan kualiti darah (kemuliaan bangsa) kita, lantas perlulah dikuasai pasaran-pasaran yang baru. Dan jika perlu, tanah air yang baru”

Daripada tradisi Pencerahan yang mencerdikkan Eropah, ia telah melahirkan manusia seperti golongan itu tadi. Fahaman Social Darwinism inilah yang mempromosikan kesombongan Anglo-Saxon (British dan Amerika) serta Teutonic (Jerman).

Lanjutan daripada itu, bermulalah gerakan-gerakan yang memporak-perandakan Eropah. Fahaman Nasionalisma berleluasa dan masing-masing mula percaya kepada teori Volkish bahawa setiap satu bangsa ada rohnya sendiri, yang lebih mulia dari roh bangsa lain.

Malang sekali, kesemua golongan ini masih merasakan bahawa mereka sedang menghidupkan tradisi Enlightenment yang dibanggakan walaupun rasional mereka sedang membinasakan masyarakat.

DALIL YANG MENGUNDANG KERAGUAN

Sekiranya kita masih mahu mencontohi Pencerahan Barat, maka kita perlu berhenti sejenak untuk merenung kesimpulan Eropah terhadap tradisi Pencerahan itu.

REASON PROMOTES DOUBT

Seruan kita kepada masyarakat agar mereka mencari sandaran hujah kepada setiap urusan agama, tidak pernah dinafikan keperluan dan kebaikannya. Tetapi ia haruslah bersesuaian dengan keupayaan masyarakat untuk mengatasi keraguan itu. Jika kita hanya rancak menggalakkan keraguan, ia akan mengundang keresahan (anxiety) masyarakat dalam beragama. Ironinya, Eropah juga mengalami era yang disebut sebagai the Era of Anxiety. Daripada usaha murni mahu membetulkan masyarakat, ada sesuatu yang tidak kena hingga umat Islam hari ini, ditimpa keresahan, the Era of Anxiety. Keresahan Sosial (Social Anxiety) itu adalah “an experience of fear, apprehension or worry regarding social situations and being evaluated by others“.

Maksudnya, “mengalami ketakutan, kekhuatiran atau kebimbangan berkaitan situasi masyarakat apabila sentiasa merasa dinilai oleh orang lain”.

Sahihkah agamaku selama ini?

Bagi penuntut agama, yang dekat dengan ilmu sumber buku, internet medan debat, mungkin ada yang ketawa bila masyarakat bertanya begitu.

“Hah, memang patut pun begitu. Senang hati sahaja mereka selama ini. Tak peduli sama ada amalan itu Sunnah ke Bid’ah” ulas seorang pendakwah di sebuah kampung.

Komen seperti itu sesuai untuk suasana persekitaran yang kaya ilmu dan maklumat. Tetapi untuk seorang pendakwah yang menjenguk kampung sebulan sekali dan kemudian melontarkan keraguan terhadap keberagamaan penduduk kampung itu, ia mengundang RESAH.

Mampukah pakcik-pakcik di kampung menelaah sendiri kitab Rijal untuk mengenal kredibiliti perawi hadith? Mudahkah untuk penduduk kampung memberhentikan bacaan Yasin pada waktu-waktu tertentu dan digantikan dengan surah yang lebih afdhal atau amalan yang lebih bersandaran?

Persoalan seperti ini tidak bermaksud menggesa pendakwah memberhentikan kerja Islah dan memurnikan keagamaan masyarakat. Tidak sama sekali. Tetapi ia lebih kepada menyeru pendakwah agar lebih bertanggungjawab terhadap dakwah mereka. Jangan hanya membuat persiapan ceramah pada tahap melontarkannya kepada ahli masjid. Tetapi perlu juga difikirkan sama, bagaimanakah kesan lontaran itu? Jangan pula kemungkaran yang mahu dihapus, menimbulkan kemungkaran dan mudarat yang lebih besar dan di luar kawalan.

Out of hand!

Saya berpendapat secara peribadi, gerakan Islah bermanhajkan apa yang disebut sebagai aliran Salafi di Malaysia ini, bergerak melebihi had laju yang mampu ditampung oleh sebahagian masyarakat kita. Sebahagian yang mampu itu mungkin berada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Georgetown malah Kangar dan Seberang Jaya. Tetapi pendakwah perlu sedar bahawa ada sebahagian penduduk kampung seperti Kampung Changkat Larang, Kampung Tengah dan Kampung Teluk Sira yang keresahan. Pendakwah datang berkuliah sebulan sekali, meninggalkan penduduk kampung dalam keraguan terhadap keseluruhan agama mereka selama ini.

Di surau pakcik saya di Ipoh, orang-orang tua mengeluh, “kami pun dah pening kepala. Datang seorang ustaz, marah kami berqunut. Datang seorang ustaz yang lain, tegur kami sebab kami tak berqunut. Rasanya lebih baik kita batalkan sahaja aktiviti kuliah subuh sebab ada sahaja masalah yang timbul”.

Inilah keresahan sosial yang saya maksudkan.

MEMATIKAN KESUNGGUHAN MENCEGAH MUNGKAR

Kita sukar untuk bertindak sepenuh hati terhadap perkara yang dijangkiti keraguan. Berbelah bagi menyukarkan tindakan. Keraguan menghalang hidayah. Kerana itulah di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa al-Quran ini hanya boleh menjadi petunjuk kepada ahli taqwa, jika al-Quran itu diterima tanpa ragu (Al-Baqarah: 2)

Al-Mutanabbi juga pernah berkata:

Jika kamu mahu menjadi seorang yang berpandangan, maka jadilah seorang yang berpendirian. Sesungguhnya kerosakan pandangan itu, adalah apabila kamu berbelah bagi

Masyarakat hari ini berhadapan dengan pelbagai kemungkaran. Ada kemungkaran yang berlaku di kalangan orang ramai, banyak pula yang dipelopori oleh pemerintah dan penguasa. Cara hidup Islam semakin terperosok di dalam lipatan sejarah, dan generasi hari ini semakin memandang asing kepada Islam. Gejala murtad merebak seperti selsema dan batuk kering.

Untuk umat ini bangun dan berdepan dengan kemungkaran ini, mereka perlu kepada keyakinan yang tinggi terhadap garis pemisah di antara Islam dan Jahiliyah. Seumpama seorang yang sedang ghairah berceramah tentang hutang dan keburukannya, tiba-tiba dewan ceramahnya didatangi oleh pegawai bank tempat beliau sendiri berhutang. Tentu sahaja hilang yakin dan ceramah pun menurun kualiti dan keberkesanannya. Pejuang Islam mesti berani dan yakin dengan perjuangan Islamnya.

Tetapi kebelakangan ini, gerakan Islam menjadi salah satu subjek asakan gerakan Salafi. Asas perjuangan mereka dikritik, kefahaman mereka terhadap perjuangan dipersoalkan, kesahihan dakwah mereka dipertikaian.

ISU GERAKAN ISLAM

Sebahagian daripada saranan gerakan Salafi itu memang benar. Ahli-ahli gerakan Islam sepatutnya mengambil serius terhadap bentuk kefahaman mereka terhadap beberapa nas penting yang mendasari perjuangan mereka. Kesilapan memahami perbezaan maksud Jamaatul Muslimin dan Jamaah min al-Muslimin, mempunyai implikasi yang serius.

Akan tetapi ada di antara saranan yang dikemukakan, menimbulkan tanda tanya. Golongan ultra Salafi bermati-matian memaksa gerakan Islam agar memberhentikan serangan mereka terhadap pemerintah dengan alasan tidak syar’ie untuk menegur pemimpin secara terbuka. Saya kira, bukan sahaja gerakan Islam yang tersentak, malah pemerintah juga jadi terkejut. Tidak sangka, selama ini mereka tidak boleh ditegur oleh pembangkang secara terbuka. Mereka perlu ditegur di dalam majlis yang hanya disaksikan oleh Allah dan Malaikat. Rakyat tidak perlu tahu apa yang ditegur, dan di manakah kepincangan pemerintah.

Apakah rasionalnya pemikiran seperti ini?

Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, tokoh gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Jordan, dan amat teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah di dalam pemikiran, penulisan dan tindakannya, pernah menulis sebuah buku bertajuk “Pembetulan Kefahaman Terhadap Beberapa Ayat al-Quran”. Di dalam buku tersebut, beliau telah mengulas tentang kefahaman umat Islam tentang ayat 44-47 surah al-Maidah iaitu:

“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang kufur” (Al-Maidah: 44)

“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang zalim” (Al-Maidah: 45)

“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang fasiq” (Al-Maidah: 47)

Pandangan pertama terhadap ayat ini, ditolak sepenuhnya oleh Sheikh Solah. Golongan pertama ini beranggapan bahawa ayat ini khusus diturunkan untuk orang Yahudi dan tidak teraplikasi ke atas umat Islam. Kefahaman ini bertentangan dengan kaedah tafsir yang utama iaitu “Pengiktibaran ayat adalah berasaskan umumnya lafaz, dan bukan khususnya sebab (turun ayat itu)”.

Tetapi Sheikh Solah amat skeptik dengan pandangan kedua. Pendukung pandangan kedua ini membezakan hukum pemerintah yang tidak melaksanakan Syariat Allah. Sama ada mereka tidak melaksanakannya kerana takut, tidak faham, lemah semangat, sedang berusaha, atau sememangnya menolak hukum itu. Kata Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, “siapakah pendakwah yang berani dan mampu bertanya kepada pemerintah secara aman, mengapa beliau tidak melaksanakan hukum Allah? Dan jika ada yang berani bertanya, jujur pulakah jawapan pemerintah itu?”

“Sesungguhnya perbuatan pemerintah, adalah lebih benar dalam menunjukkan maksud mereka berbanding dengan kata-kata pengakuan (pemerintah)” ujar Sheikh Solah.

Inilah pendirian seorang tokoh Salafi yang digeruni King Hussein dan kerabatnya. Harapan rakyat kepada Islam berputik apabila adanya gerakan yang memantau secara telus tindak tanduk pemerintah yang absolute.

Jika isu “jangan lawan pemerintah” seperti ini diwar-warkan oleh pendukung Salafi untuk meluruskan gerakan Islam, jika menang di medan debat sekali pun, apakah kesannya kepada masyarakat?

Jika isunya adalah isu teguran yang tidak berakhlak, maka yang perlu diperbetulkan adalah akhlak ahli gerakan Islam, dan bukannya memberikan cadangan yang diketawakan pemerintah.

USAHA PEMURNIAN GERAKAN ISLAM

Gerakan Islam yang keahliannya bersifat terbuka, menerima kemasukan ahli yang pelbagai. Dari pemanjat pokok kelapa, suri rumah yang buta huruf, hinggalah kepada profesor di IPT, kesemuanya memerlukan kepada hikmah kebijaksanaan di dalam membentuk mereka ini. Ada yang masuk melalui pintu politik, ada juga yang masuk melalui pintu Tarbiah. Tokoh-tokoh gerakan Islam seawal Hasan al-Banna di Mesir, hingga kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Malaysia, mempunyai pendekatan yang mengambil kira realiti ini.

Selama ini, gerakan-gerakan Islam berlapang dada. Mereka boleh menerima konsep Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah di dalam diskusi perkaderan mereka, walaupun di kalangan anggota gerakan itu, bukan kecil jumlah yang datang dari aliran Khalaf. Hasan al-Banna, ketika mensyarahkan Usul 20 kepada rukun bai’ah yang pertama iaitu al-Fahm, secara jelas mengambil manhaj Salafi tetapi ia dikemukakan selepas bersungguh-sungguh mengenengahkan persamaan yang boleh dikongsi di antara Salaf dan Khalaf. Di dalam gerakan Islam, ada pimpinannya yang Salafi, ada yang Khalaf. Mereka menggunakan manhaj masing-masing secara harmoni dalam menyusun saf perjuangan.

Sebelum aliran pembaharuan Salafi semasa ini popular, tokoh-tokoh Salafi boleh berada di dalam pelbagai organisasi. Ia tidak berhasrat menjadi satu kelompok yang berasingan kerana Dakwah Salafiah adalah gerakan pembetulan proses yang boleh dan perlu ada di mana-mana. Ia perlu ada dalam parti-parti politik, NGO, institusi pengajian tinggi, surau dan masjid. Tetapi apabila kesabaran generasi matang tidak dapat dicontohi oleh kegopohan anak muda, satu demi satu ahli yang Salafi itu menarik diri dan pergi kepada pembentukan entiti yang berasingan.

Menyeru ahli gerakan Islam agar lebih ilmiah dan sahih sandaran, bukanlah suatu kerja yang boleh berlaku sekelip mata. Ia soal paradigma dan cara berfikir. Saya berpandangan, ahli-ahli gerakan Islam yang meninggalkan kumpulannya kerana tidak sabar terhadap islah dalaman, adalah berjiwa sempit dan kurang mahu memikul tanggungjawab secara yang berwibawa. Melontar batu dari luar pagar, memang mudah kerana kesan lontaran itu boleh dilupakan. Tidak perlu peduli kepada akibat lontaran itu.

Kesan lontaran itu telah mengakibatkan segelintir ahli gerakan Islam dibelenggu keraguan. Keraguan itu telah membocorkan masa dan tenaga untuk tujuan yang tidak turun ke alam nyata.

Cabaran terus menerus berlaku di dalam masyarakat. Kelompok yang menarik jauh manusia dari agama semakin aktif. Tetapi ahli-ahli dakwah dan islah hilang momentum dan terdorong kepada mencari kemenangan di medan debat, bukannya jihad.

Akhirnya, sebagaimana Eropah menyesali over confident mereka kepada tradisi Enlightenment, kita juga mula dijangkiti kekhuatiran yang sama.

REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION -

Pendalilan (yang keterlaluan) mempromosikan keraguan, melemahkan tekad, memperlahankan tindak balas spontan dan agresif -

Keraguan.

Adakah itu jalan Islah?

Saya masih memikirkannya

SUMBER :

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

Versi asal: 5 November 2006

AddThis Social Bookmark Button

Pautan pada catatan ini Email this post


Barbarosa (Pirates of The Carribean) Ialah Pelaut Islam Menjadi Mangsa Propaganda Barat...  

Saturday, December 24, 2011



Anda yang gemar membaca komik Asterix dan anda yang pernah menonton filem 'Pirates of The Carribean', tentu ingat watak jahat 'Barbarossa' bukan? Sejak zaman pertengahan, aneka macam karya fiksyen Eropah dan Amerika biasa menggunakan nama Barbarossa untuk menamakan watak seorang penjahat (biasanya seorang lanun laut jahat).

The Barbarosa Brothers..


Pada abad ke-15 Masihi, di Laut Mediterranean ada dua pelaut bersaudara yang disebut The Barbarossa Brothers. Kedua-dua tokoh ini menjadi legenda dalam dunia lautan dan merupakan tokoh pelaut yang sangat ditakuti orang-orang Eropah pada zamannya.

Kebiasaannya ialah merampas barang-barang berharga yang dibawa oleh kapal-kapal milik kerajaan-kerajaan Eropah yang melintasi Laut Mediterranean. Awak kapal yang dirampas biasanya diberi dua pilihan; mati kerana melawan atau hidup dengan menyerah secara sukarela.

Siapakah sebenarnya Barbarossa yang sangat ditakuti oleh orang-orang Eropah selama berabad-abad itu? Mengapa hingga zaman sekarang nama itu terus menghantui benak dan fikiran mereka?






Barbarossa bukanlah sebuah nama. Barbarossa merupakan kata dalam bahasa Latin-gabungan dari kata barber (janggut) dan rossa (merah). Jadi Barbarrossa bererti janggut merah. Barbarossa merupakan julukan yang diberikan oleh para pelaut Eropah kepada adik-beradik Aruj dan Khairuddin dari Turki. Kedua-dua adik-beradik ini hanyalah pelaut-pelaut biasa yang rutin belayar di kawasan perairan Greece dan Turki.

Awal Gerakan Barbarosa..


Pada suatu hari, tanpa sebab yang jelas, kapal milik keluarga mereka diserang secara kejam oleh kapal tentera Knight of Rhodes. Dalam peristiwa ini, adik bongsu Aruj dan Khairuddin terbunuh. Aruj dan Khairuddin sangat sedih dengan kematian adik bongsu mereka.

Sejak saat itu, mereka melakukan aksi lanun terhadap semua kapal-kapal tentera milik kerajaan-kerajaan Kristian. Aksi-aksi mereka sangat menggemparkan dan membuat mereka ditakuti tentera Kristian. Aruj dan Khairuddin pun kemudian dikenali sebagai The Barbarossa Brothers Pirates kerana kedua-duanya berjanggut merah.

Kaum Eropah menyebut Barbarossa sebagai lanun laut, walaupun tidak ada bendera hitam dan tengkorak yang menjadi simbol lanun. Bendera yang dipasang Aruj dan Khairuddin di kapal mereka adalah sebuah bendera berwarna hijau mengandungi kaligrafi doa Nashrun minallaah wa fathun qariib wa basysyiril mu'miniin, wahai Muhammad, empat nama khulafaur rasyidin, pedang Zulfikar dan bintang segi enam Yahudi (Bintang David) kerana anak kapal yang dipimpin kedua bersaudara ini terdiri daripada orang-orang Islam dari bangsa Moor, Turki, dan Sepanyol, serta beberapa orang Yahudi.

Pada tahun 1492 M, Andalusia yang sejak tahun 756 M dikuasai oleh Daulah Khilafah Islamiyah, jatuh ke tangan Pasukan Salib yang terdiri daripada pasukan gabungan Aragon dan Sepanyol. Dalam peristiwa penaklukan Andalusia ini, berjuta-juta orang Islam dan Yahudi tewas dibantai pasukan yang dipimpin Raja Ferdinand II dari Aragon.

PERJUANGAN JIHAD Barbarosa...


Peristiwa itu mengubah haluan misi dendam Aruj dan Khairuddin menjadi misi Jihad Islam. Berganding bahu bersama sekumpulan militan bangsa Moor, mereka kemudian menyelamatkan puluhan ribu Umat Islam dari Sepanyol ke Afrika utara (Maghribi, Tunisia dan Algeria). Kemudian mereka membina pangkalan pertahanan laut di Algeria untuk menghalang gelombang serangan Pasukan Salib dari jalur Afrika Utara menuju Tanah Suci Palestin.

Khalifah Islam ketika itu, Sulaiman I, mendengar cerita-cerita kehebatan Barbarossa bersaudara. Sulaiman I sangat kagum pada heroisme mereka. Kerana prestasi mereka di lautan, akhirnya Sulaiman I mengangkat Aruj dan Khairuddin sebagai Kapudan Pasha (Panglima Tentera Laut) Khilafah Islamiyyah untuk memantapkan Tentera Laut Daulah Khilafah Islamiyah yang amburadul.

HASUTAN PIHAK SEPANYOL..


Pada tahun 1518 Sepanyol berjaya menghasut Amir bandar Tlemcen (Tilmisan) untuk melancarkan pemberontakan kepada kepemimpinan Aruj. Aruj kemudian menyerahkan pemerintahan Algeria kepada Khairuddin untuk sementara. Lalu ia memimpin pasukan untuk berangkat ke Tlemcen. Hati Aruj sangat pilu kerana dia malah berperang dengan saudara sendiri sesama Muslim. Akibatnya dia kurang menumpukan perhatian dan pasukannya kucar-kacir.

Aruj sempat melepaskan diri, namun banyak pasukannya yang tertangkap. Kerana hubungan emosionalnya dengan anak buahnya, Aruj kembali ke Tlemcen untuk bertempur dan dia gugur dalam pertempuran tersebut.

Dengan gugurnya Aruj, kepimpinan Tentera Laut Daulah Khilafah Islamiyah beralih ke tangan Khairuddin. Sepanyol mengira bahawa era kejayaan Barbarossa di Laut Tengah telah berakhir. Lalu, dengan yakin, Sepanyol menghantar 20,000 tenteranya ke Algeria. Pertempuran hebat pun berlaku, namun Khairuddin berjaya menewaskan pasukan laut tersebut.

Sejarah dan Kehebatan Pasukan Janissary..


Dengan meminimumkan ancaman dari negeri sekitar Algeria, selain ancaman utama Sepanyol, Khairuddin kemudian meminta kepada Khalifah Sulaiman I agar kuasa Amir Tunisia dan Tlemcen dialihkan kepadanya. Sulaiman I pun setuju. Pada 1519, Khalifah mengangkat Khairuddin sebagai beylerbey (Bakhlair Baik) atau wakil Khalifah untuk wilayah Algeria dan sekitarnya. Kemudian Khairuddin juga ditugaskan untuk memimpin pasukan tentera elit Daulah Khilafah Islamiyah, Pasukan Janissary.

Dalam masa kepimpinan Khairuddin, Pasukan Janissary berjaya melakukan banyak penyelamatan Umat Islam di Andalusia. Tercatat mereka melakukan 7 kali pelayaran dengan 36 buah kapal untuk mengangkut Umat Islam Sepanyol yang diburu seperti haiwan oleh Ferdinand II dan Pasukan salibnya.

Pertengahan dekad 1520-an, Pasukan Darat Janissary yang dipimpin oleh Khalifah Sulaiman I berjaya memenangi semua pertempuran darat. Pada masa yang sama, Pasukan Laut Janissary di bawah pimpinan Khairuddin juga berjaya mengawal lalu lintas pelayaran di Laut Tengah sepenuhnya. Keadaan ini membuat Pasukan Salib Kristian Eropah menjadi keruan.

Akhir Gemilang Barbarosa Sebelum Kematiannya..


Tahun 1538, Pasukan Salib Gabungan Itali-Sepanyol menyerang Preveza yang ketika itu merupakan pelabuhan penting di Laut Tengah. Andrea Doria memimpin 40 kapal dan Barbarossa hanya memimpin 20 kapal. Namun dengan kecerdikannya, Barbarossa memecah armadanya ke tiga arah dan memerangkap Pasukan Andrea Doria di tengah-tengah dan kemudian mengebom armada Andrea Doria habis-habisan.

Andrea Doria dan armada lautnya pun lari dari pertempuran. Walau begitu, Khairuddin tidak mengejarnya kerana dia tidak mahu berperang di laut lepas, mengingati kapal-kapal armada laut Sepanyol mempunyai peralatan yang lebih canggih. Apalagi ia hanya memimpin 20 kapal.

Tiga tahun kemudian, Pasukan Salib Gabungan Sepanyol-Genoa kembali menyerang Algeria dengan kekuatan 200 kapal. Mereka sengaja melancarkan serangan di luar musim pelayaran, untuk mengelakkan pertemuan dengan Pasukan Barbarossa. Rakyat Algeria di bawah pimpinan Hasan Agha berjuang sekuat tenaga untuk mempertahankan Algeria. Charles V dan Andrea Doria yang memimpin serangan tidak menjangka bahawa pertahanan dan strategi perang Hasan Agha sangat matang, sehingga armadanya pun kacau-bilau.

Ketika itu pula tiba-tiba badai laut dahsyat menghentam Laut Mediterranean. Andrea Doria dan Charles V berjaya selamat, dan kembali ke negerinya dengan kekalahan pahit.

Tahun 1565, di penghujung usia, Khairuddin Barbarossa memimpin pasukan untuk merebut Malta dari tangan Knight of St. John. Namun dalam pertempuran itu, Khairuddin gugur. Kemudian Khairuddin dimakamkan di Istanbul. Berhampiran kuburnya dibina sebuah masjid dan madrasah untuk mengenangnya. Hingga kini makam tersebut masih dijaga untuk menjadi bukti kepahlawanan Khairuddin atau dikenali sebagai Barbarossa yang namanya masih ditakuti bangsa Eropah hingga zaman sekarang.

Diterjemah dari situslakalaka.

Sumber : keretaburuk12

AddThis Social Bookmark Button

Pautan pada catatan ini Email this post


kembara sufi

 

Design by Blogger Buster | Distributed by Blogging Tips